Isnin, 11 November 2013

Konseptual dan Kompleksiti Etnisiti

Ulasan kuliah Dr. Zaini Othman 
(22 & 23 Oktober 2013)

" Hari ini banyak bangsa telah dilukis dan diwarnai oleh barat.."- Dr. Zaini Othman, UMS

Wacana tentang kajian etnik sememangnya sesuatu yang unik, sulit dan kompleks. Hari ini kekeruhan hubungan etnik di mana-mana negara di dunia semakin hari nampaknya semakin menonjol tetapi kurang mahu ditonjolkan. Dalam konteks ini, isu-isu etnisiti yang berkaitan dengan kumpulan majoriti, minoriti dominan dan konfliks tidak pernah jemu dibahas dan dibincangkan. Antara ahli akademik yang menurut saya punya kemampuan dan kepakaran dalam membahas isu ini adalah Dr. Zaini Othman (UMS) yang dijemput khas untuk melengkapkan perjalanan kuliah kursus ini. Dr. Zaini membuka ruang perbincangan dengan lontaran isu dari refleksi yang berbeza iaitu bagaimana melihat isu etnik ini dalam konteks bukan konflik.

Dalam suasana hari ini masyarakat sering diingatkan bahawa keamanan dan keharmonian tidak akan dicapai sekiranya berbincangan mengenai 'konflik' dalam proses hubungan etnik tidak lagi mahu diteruskan. Biarpun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa bukan semua anggota masyarakat yang terlibat dalam aktiviti yang boleh merosakkan hubungan antara kaum. Atas penyataan ini, Dr. Zaini seterusnya mengupas tentang kefahaman yang lari dari kebiasaannya iaitu bagaimana melihat titik hubungan etnik di Malaysia ini dari asas perkataan "subjek" melawan "objek". Berasaskan kefahaman ini, beliau menghujahkan bahawa hubungan etnik di Malaysia adalah diakibatkan dari kesinambungan pemerintahan yang ditinggalkan oleh barat dimana bangsa-bangsa yang menduduki rantau ini telah dijadikan sebagai suatu 'objek' atau bahan yang telah dilakar, dilukis dan diwarnakan kulit bangsanya mengikut taraf, tempat dan kedudukan. Dalam kata lain, sesuatu yang diobjekkan sudah pasti tidak memberikan nilai dan norma kepada manusia itu sendiri malah hanya dijadikan sebagai bahan ujikaji yang hanya memberikan untung dan faedah untuk mencapai matlamat peribadi sang penjajah. Dikotominya objek itu adalah subjek yang sepatutnya digunakan dalam meletakkan sesebuah bangsa itu betul pada budaya, aturan dan tempatnya. Subjek dalam erti mendalami apa yang dimaksudkan dengan kefahaman tentang kemanusiaan yang didalamnya terkandung tentang hubungan agama, bahasa, etnik, budaya, sejarah dan sastera. Begitulah kompleksitinya sebuah etnisiti yang mewacanakan tentang identiti, nasionalisme, konfliks dan modenisasi bagi memaknakan apa yang dikatakan 'bangsa'..




0 comments:

Catat Ulasan