Khamis, 11 Oktober 2012

Kejiwaan : Kajian dan Pemahaman tentang Ilmu Jiwa


Kejiwaan, satu bidang ilmu dan pengetahuan yang ingin dibahaskan dalam penulisan ini. Barangkali istilah kejiwaan sesuatu yang baru atau janggal di dengar dalam perkembangan ilmu yang mengkaji dan memahami akan naluri diri manusia ini.Sederhananya, ilmu jiwa dalam alam melayu ini sudah lama wujud malah dipraktikkan dalam pelbagai pembelajaran dan lapangan keilmuan. Bahasanya "jiwa" itu sudah cukup membuktikan bahawa pengetahuan tentangnya sudah di bahas lama dalam kitab-kitab terdahulu yang di cerna, di tafsir dan dikembangkan dari kitab suci dari langit iaitu Al-Quran al-karim. Sehinggalah timbulnya istilah yang dinamakan psikologi yang berasal dari bahasa Yunani lama yang hari ini lebih terkenal sebutannya dalam masyarakat dunia walaupun kedua-duanya dikatakan punya benih  dan niat yang hampir sama iaitu pengkajian ilmu tentang roh atau jiwa atau ilmu jiwa. Demikianlah, istilah Psikologi itu sendiri yang berakar kata dari dua perkataan iaitu Psyche  yang bermakna roh, jiwa, dan fikiran manakala logos bermaksud ilmu atau pengetahuan.Ringkasnya, psikologi berkembang sebagai satu disiplin sains bermula pada akhir abad ke-18.Timbulnya apabila pemikiran manusia mula mengajukan pelbagai persoalan tentang sifat alam sejagat yang mengelilinginya. Keadaan alam sekitar di renung sebagaimana di renung dirinya manusia itu sendiri.Renungan itu selari dengan perkembangan pemikiran manusia yang hasilnya melahirkan ilmu jiwa sebagai objek pemerhatian dan merupakan perkara yang paling menarik tetapi kompleks. 


Makna dan Falsafah Kejiwaan

Jiwa seandainya di kupas dari maknanya bahasa Arab itu mempunyai empat pecahan istilah iaitu roh, qalb (hati), nafs dan 'aql (akal).Huraian ini di kupas berdasarkan serpihan dari terjemahan dalam Al-Quran, contohnya kata nafs (jiwa) dalam surah al-Baqarah ayat 48 menunjukkan zat dalam keseluruhan (Mohd. Jawad Mughniyah,1973).Ia lebih merupakan unsur pengaruh dan aktiviti biologis daripada makna yang sedar atau fikiran padanya manusia.Jelasnya kejiwaan itu menunjukkan akan kemanusiaan itu seluruhnya (holistik) dan tidak pula khusus untuk pemikiran semata-mata.Dalam al-Quran kata nafs disebut sebanyak 367 kali. Kata qalb pula seringkali digunakan berkaitan dengan emosi dan akal manusia (Nicholson,1935).Berbanding kata nafs, penggunaannya di lihat lebih khusus dan tidak menunjukkan penggerak naluri atau biologis, tetapi kepada bahagian yang disedari sahaja. Antara contoh kata qalb yang di sebut dalam al-Quran adalah terdapat pada surah al-Shu'ara' ayat 89 dan surah al-Hujurat ayat 7.Dalam al-Quran kata qalb disebut sebanyak 144 kali. Kata roh pula dalam al-Quran diinterpretasikan dengan pelbagai makna. Pertama, ia digunakan sebagai pemberian hidup.Perhatikan surah al-Haj ayat 7. Kedua,ia digunakan dengan maknanya al-Quran seperti dalam surah al-Shura ayat 52. Ketiga, ia digunakan untuk menunjukkan wahyu dan malaikat yang membawanya.Perhatikan pada surah al-Mu'min ayat 15 dan al-Nahl ayat 102.Dalam Al-Quran kata qalb disebut sebanyak 25 kali.Kata 'aql sebagai kata, adalah berbentuk mujarrad tidak di sebut sama sekali dalam al-Quran.Namun, sebagai kata kerja 'aqala ia disebut dalam al-Quran sebanyak 49 kali.Semuanya menunjukkan unsur pemikiran pada manusia sepertinya dalam surah al-Baqarah ayat 24 dan surah al-Mulk ayat 10.

Dalam pembahasannya, ahli falsafah bersetuju bahawa jiwa atau psyche ini adalah sesuatu yang menyebabkan manusia itu dapat hidup. Ada antara mereka yang menggunakan kata-kata tersebut dengan satu makna.Contohnya ahli falsafah Plato menterjemahkan jiwa itu dengan satu makna.Tidak kurang juga ada yang menggunakannya dengan makna yang berbeza-beza. Terdapat juga ahli falsafah Islam yang bersetuju dengan pendapat ahli falsafah Yunani yang menganggap al-Nafs al-Natiqah (jiwa yang berfikir) itu bersamaan dengan katanya roh. Di bahaskan juga bahawa Nafs sebelum berhubung dengan badan boleh digambarkan sebagai roh (al-Aqqad,1962) dan apabila telah berhubung dengan badan barulah adanya nafs itu. Kata qalb pula sedikit sekali digunakan dalam menterjemahkan jiwa.Tentang penggunaan kata 'aql pula adalah salah satu kekuatan atau fungsinya nafs yang berfikir dan dibahagikan kepada dua bentuk iaitu 'aql praktis dan 'aql teoritis.






------------------------------------------------------------------------------------------------------
1. Terjemahan Al-Quran http://www.alquran-melayu.com/
2. Hassan Langgulung Perspektif Baru dalam Perkembangan Psikologi Moden : Sumbangan Islam, Sains Sosial dari 3. Perspektif Islam : Penerbit UKM,1996
4. Mohd. Jawad Mughniyah, Ma'alim al-Falsafah, al-Islamiah, Beirut, Dar al-Qalam,1973 
5. Nicholsan, al-Sufzah fi al-Islam, Kahirah, Dar al-Nahdan,1935







0 comments:

Catat Ulasan