Rabu, 11 September 2013

Subangsih Buat Pelajar Lestari


Tarikh : 9 September 2013
Lokasi : Bilik Mesyuarat LESTARI

Menurut saya pertemuan kali ini agak berbeza. Bilik mesyuarat LESTARI hari ini dipenuhi bukan sahaja pentadbir, pelajar-pelajar baru dan lama tetapi turut disertai oleh pelajar-pelajar SEADPRI (Southeast Asia Disaster Prevention Research Institute) yang kini berada bersama-sama di bawah satu bumbung yang Lestari..Menariknya, ianya satu pertemuan yang baru, unik dan  murni. Bila pelbagai bidang keilmuan digabungkan di dalam satu lapangan akademik yang kukuh dan matang usianya, sudah pasti ia akan memberikan impak yang kuat dan teguh terutamanya kepada para pelajar, institusi dan universiti. Barangkali keberkesanannya kurang dirasakan pada masa sekarang, namun untuk generasi yang mendatang sudah pasti ia memberikan manfaat dan keberuntungan yang besar kerana niat, laku dan hasil tesis pelajar hari ini dapat diperoleh, dikongsi dan dirujuk dengan mudah dalam satu jaringan warga, aturan dan tapak yang sama.

Isnin, 2 September 2013

Precariat : Satu Krisis Dayahuni Bandar

Berikut adalah abstrak makalah yang telah saya siapkan dalam semester kedua yang lepas..

Proses perubahan pembandaran yang cepat dan drastik menerangkan juga satu proses perubahan yang berkait langsung dengan perkembangan dan peningkatan permasalahan dayahuni bandar. Perubahan pembandaran yang berlaku terutamanya pada konurbasi bandar-bandar besar di Malaysia telah menyebabkan berlakunya perubahan dan pengaruh esensi dan pola kejiwaan penduduk bandar sedia ada yang akhirnya mengancam elemen-elemen kejiwaan bandar yang menjadi faktor pembentuk bandar tersebut. Gerak kuasa ini sama ada disedari atau tidak, perubahan pembandaran yang berlangsung itu telah meningkatkan situasi kemudahancaman (vulnerability) dalam pola kejiwaan penghuni yang sedang bertindak dalam proses melestarikan dayahuni bandar yang telah tercipta dan  dipertahankan. Lebih penting lagi, pembentukan konfigurasi kemudahancaman itu pada keseluruhannya menjelmakan satu kelompok baru masyarakat yang diistilahkan sebagai “precariat”. Makalah ini cuba meneliti perubahan pembandaran yang berlaku dan hubungkaitannya dengan keadaan kemudahancaman yang terjadi kepada kehidupan dayahuni di alam bandar. Dalam hubungan ini, makna dan faktor “precariat” terhadap perubahan ini akan dibincang dan dikupas secara sederhana tetapi menyeluruh. Faktor-faktor precariat antaranya adalah globalisasi, krisis politik, sosio-ekonomi, perubahan dan pemodenan pembandaran serta tragedi alam sekitar.  

Eksperimental jiwa

Alhamdullillah, pendaftaran tesis bagi semester 1 sesi 2013/2014 telah dilakukan pada 20 Ogos yang lalu. Bererti sudah setahun saya berada dalam ruangan pengajian di peringkat tinggi ini. Sudah pasti, bagi seorang siswazah yang boleh dikategorikan sebagai 'senior' seringkali akan ditanya tentang tahap prestasinya, apa yang telah dihasilkannya atau apa yang telah dicapainya sepanjang tempoh satu tahun itu..Saya kira, persoalan ini bukan hanya menghantui saya tetapi turut dirasakan mereka yang setiap hari berusaha sedaya-upaya untuk menyelesaikan segera niat dan harapan yang telah dibina selama beberapa tahun sebelum ini. Teringat kata-kata PM Hadi awal-awal dulu, 'tesis awak apa' ?

Sederhana tetapi signifikan. Itu yang dapat saya gambarkan secara ringkas dalam pencarian maksud perkataan 'tesis' itu sendiri dan jika ingin dirungkai sedikit lagi ia merupakan satu proses yang unik, panjang dan sentiasa berubah. Menurut saya, setiap pemahaman baharu yang diperoleh hari ini belum tentu dapat menyelesaikan sesuatu kondisi masalah pada waktu yang sama. Barangkali ia boleh digunakan untuk mengupas suatu persoalan untuk hari atau minggu atau bulan yang berikutnya..bahasa mudah tesis ini perlu kepada akal yang sentiasa seimbang, sihat dan cergas.

Khamis, 6 Jun 2013

Teori, Teori & Teori

Saya bertanya kepada penyelia bagaimana bab 2 dalam tesis boleh dikembangkan.Ianya berkaitan dengan teori-teori yang digunapakai dalam mencorak keilmuan tesis secara keseluruhannya. Secara umumnya, perkara yang ingin diluruskan dalam bab ini adalah untuk menjelaskan cause & effect. Saya diminta untuk membaca teori-teori yang terkait dengan melihat dan memahami perspektif mana yang paling sesuai bagi menjelaskan isu tajuk yang sedang digendong. Saya tertarik dengan penyelasan PM Hadi bahawa dalam merungkai kepada penggunaan teori-teori yang terpilih adalah bersandarkan kepada dua kaedah. Pertama, membaca sumber dan memilih teori-teori yang sesuai lalu di bawa ke tapak kajian untuk dinilai logik-gunanya. Kedua, berada dahulu di tapak kajian, memerhati dan dibincang bersama lalu dikeluarkan teori mana yang lebih sesuai untuk digunakan. Menurut PM Hadi, kaedah kedua lebih efektif dan kumpulan mereka lebih suka mempraktikkan kaedah tersebut dalam penyelidikan yang dijalankan. Iya, secara logiknya saya juga berpandangan begitu kerana itu lebih akademik dan setiap isu dan permasalahan yang cuba dilontarkan hanya boleh terjawab apabila kita sememangnya berada di lapangan.

Selasa, 4 Jun 2013

Timbulnya Permasalahan Kajian

Antara isu yang paling getir dalam mencari rentak penulisan tesis ini adalah mendapatkan 'permasalahan kajian'. Sejak dari awal menanam niat sehingga sampai peringkat membenihkan tujuan kajian tesis, saya masih dihujani dengan persoalan yang sama iaitu mengapa pokok tesis ini yang hendak dihidupkan? Teringat sewaktu di hari pembentangan proposal, panel-panel yang hadir begitu ghairah bertanyakan tentang apakah masalah yang melanda bandar dunia hari ini yang membuatkan  saya beriya benar mahu mengkaji jiwanya bandar itu ? Delima itu barangkali telah saya ketemukan jawapannya dalam semester dua ini. Walaupun belum muktamad dan mungkin berubah, tetapi sudah jelas di akal dan jantung bahawa sesuatu permasalahan kajian dalam pembikinan tesis bukanlah hal yang dapat hadir secara tiba-tiba dan boleh dirungkaikan serta-merta. pengertiannya, ia juga merupakan satu proses yang keberlanjutanan !

Pertemuan dengan penyelia-penyelia baru-baru ini (30 Mei) , sedikit sebanyak telah berjaya membedah pemikiran saya dalam meneliti penyakit utama dalam kajian tesis ini. Syukur juga saya telah menyiapkan satu lagi makalah baru yang bertajuk Precariat : Satu Krisis Dayahuni Bandar yang dapat dijadikan sandaran untuk diperbincangkan bersama bapak-bapak penyelia itu. Dalam hal  permasalahan kajian tesis ini, saya mengambarkan kelas baru (precariat) dalam masyarakat bandar pada hari ini merupakan satu ancaman yang sedang melanda dan ianya memberi kesan yang tidak baik dalam usaha melestarikan dayahuni di alam bandar.Kata PM Hadi "the permanent has change" atau yang dikatakan sesuatu yang menjadi faktor pengekal di bandar itu sudah berubah. Perubahan yang telah merosak, menghilang atau mengebumikan jiwa yang telah sedia ada (hidup dan berkehidupan) dalam ruang bandar itu atau bahasa lainnya semuanya telah dicampuradukkan antara yang lama (tradisional) dan yang baru (moden).

Definisi "perubahan" dalam hal ini nampaknya telah turut sama merubah pandangan saya mengenai bandar. Apa yang dikatakan perubahan itu tidak hanya dilihat dalam konteks "lebih cekap" yang ditakrifkan orang bandar hari ini yang mereka sudah moden. Moden dalam erti kata adakah meninggalkan atau menolak kesemuanya yang lama dan menggantikan yang baru ? atau moden yang bererti adanya satu kebenaran ? atau moden kerana majunya manusia itu atas usaha yang dilaluinya sendiri ? 

Selasa, 30 April 2013

Catatan Hari Akhir Bulan April '13

Hari ini, setelah hampir 3 bulan  saya dapat menjejakkan kaki ke bumi Bangi ini. Bukan malas, tapi belum ada kesempatan. Kesibukkan menyelesaikan hal-hal keluarga di rumah adalah antara alasan yang seumpamanya. Di tambah dengan kelahiran orang baru, jadi aktiviti harian saya turut berubah dan bertambah. Alhamdullillah, masih terus dikurniakan kudrat, rezeki dan kesihatan yang baik setelah usia sudah mencapai 30-an ini. Perjalanan saya ke kampus UKM kali ini berbeza. Saya tidak melalui jalan biasa iaitu keluar di tol Duta, melintasi bandaraya Kuala Lumpur dan memandu hingga keluar di tol Bangi. Tetapi saya memilih mengikut arus lebuhraya ke selatan (laluan Dengkil) dan keluar di tol menghala ke Putrajaya. Pertama kali ingin merasai laluan dan pengalaman yang tidak sama. Menurut saya, perjalanannya agak sedikit jauh berbanding jalan kebiasaannya yang saya tempuh. Barangkali itu tanggapan saya, mungkin bagi orang yang biasa melalui jalan itu, ianya lebih mudah dan cepat. Wallahualam.