Tarikh : 9 September 2013
Lokasi : Bilik Mesyuarat LESTARI
Menurut saya pertemuan kali ini agak berbeza. Bilik mesyuarat LESTARI hari ini dipenuhi bukan sahaja pentadbir, pelajar-pelajar baru dan lama tetapi turut disertai oleh pelajar-pelajar SEADPRI (Southeast Asia Disaster Prevention Research Institute) yang kini berada bersama-sama di bawah satu bumbung yang Lestari..Menariknya, ianya satu pertemuan yang baru, unik dan murni. Bila pelbagai bidang keilmuan digabungkan di dalam satu lapangan akademik yang kukuh dan matang usianya, sudah pasti ia akan memberikan impak yang kuat dan teguh terutamanya kepada para pelajar, institusi dan universiti. Barangkali keberkesanannya kurang dirasakan pada masa sekarang, namun untuk generasi yang mendatang sudah pasti ia memberikan manfaat dan keberuntungan yang besar kerana niat, laku dan hasil tesis pelajar hari ini dapat diperoleh, dikongsi dan dirujuk dengan mudah dalam satu jaringan warga, aturan dan tapak yang sama.
Hari ini pelajar-pelajarnya terus bertambah. Yang muda bersemangat waja, yang lama bersiap siaga. Mengendong cita-cita yang sama cuma berjalan dengan praktik ilmu yang berbeza. Dalam apa pun alirannya, sama-samalah meletakkan keilmuan itu betul pada tempatnya. Kerana di mana sahaja jatuh titik peluh keringatnya tiadalah berharga jika kesudahan ilmunya itu hanyalah untuk kepentingan diri semata-mata. Mungkin boleh diambil dan dicontohi sifatnya seorang khalifah yang tidak pernah ada tesis dan ijazahnya tetapi menjadi ilmuwan yang terkenal di mata dunia.
1. Bahawa dalam langkah menggali keilmuan itu perlu dibenih diri dahulu dengan sifat 'Siddiq' yakni sentiasa benar dan betul dalam pengucapan, perbuatan dan penulisan sepanjang usaha untuk menghasilkan buah kejayaan yang manis diakhirnya nanti.
2. Tanpa dibenihkan dahulu sifat 'Siddiq' itu, adalah sukar untuk kita menumbuhkan sifat 'Amanah' yang menjadi kayu pengukur kepada diri sendiri sehingga menzahirkan sama ada subur atau layunya pohon pengajian yang menjadi tujuan dan harapan setiap pelajar itu.
3. Dengan memilikinya sifat 'Amanah' itu, maka dengan sendirinya akan hiduplah yang dinamakan sifat 'Tabliq' iaitu sedia dan mahu menyampai, berkongsi dan memindahkan keilmuan yang diperolehnya walaupun sedikit pada sesiapa yang sudi untuk mendengar dan menerima ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang telah diajar dan dipandaikan Tuhan kepadanya.
4. Yang akhirnya, akan timbullah sifat 'Fatanah' yang secara fitrah (semulajadi) nya adalah hadiah 'kebijaksanaan' dari Tuhan yang diberikan kepada hamba-hambanya yang sentiasa berusaha, tidak mudah putus asa dan ikhlas menggali ilmu tanpa mengira ruang dan masa serta sentiasa bersama-sama dalam satu pasukan yang turut sedia membantu, menegur dan mengingatkannya sekiranya dia lupa dan leka..
Semoga dipilih kita menjadi seorang ilmuwan atau seorang yang 'Alim iaitu mereka yang punya 'Ilmu tentang 'Alam yang luas tiada tara dan sempadannya.
Pengerusi Ajk Siswazah Lestari,
Sesi 2013/2014
0 comments:
Catat Ulasan