Isnin, 12 November 2012

Pulau Sumpahan, Presiden dan Evolusi Blog

Alhamdullillah, berlabuh sudah Kolokium Siswazah Lestari 2012..Barangkali aktor-aktornya sudah sampai ke destinasi masing-masing atau masih mungkin ada yang lena di ulit bantal. Ini kali ke tiga penulis sampai ke Pulau Sumpahan ini. Akhir dulu pada tahun 2006 semasa menyambung pengajian Ijazah Seni Bina di USM, menyempunakan analisis tapak projek membina sebuah hotel di sekitar pantai Datai..Aneh ya, kali ini datangnya ke sini dengan status yang sama iaitu "student". Begitu bermakna menjadi seorang pelajar, dapat melangkah kaki lebih jauh, merebut jutaan pengalaman yang terbentang luas di bumi Allah ini. Menyelusuri Pulau Sumpahan menurut pemerhatian penulis sudah semakin hilang "jiwa" nya. Jiwa sebuah pulau yang penuh dengan sejarah, bahasa dan budayanya semakin hari semakin di kunyah oleh rakusan raksasa modenisasi dan norma penghuninya yang terleka dengan habuan dunia. Wajah asing yang berbondong-bondong  datang dan pergi ke pulau ini hanya mendahagakan makanan, perhiasan dan perkakas yang murah serta keseronokan yang sementara berbanding sedikit yang mahu menyelongkar khazanah yang masih tersimpan di sebalik batu, air dan gunungnya. Tentu sekali batu asas (pusat penyelidikan langkawi) yang di bina Lestari merupakan satu instrumen yang tepat pada waktu nya kerana jika tidak dalam sepuluh tahun lagi, barangkali wajah Langkawi seumpama masih dalam sumpahnya si Mahsuri, yang berbeza adalah waktu, bentuk dan fungsinya (form& function)..Jika di tanya penulis, di bawah Pulau Sumpahan ini sudah perlu di suluh, di teroka dan di kenal penghuninya. Perspektifnya tidak sahaja lagi di lihat dari atas ke bawah tetapi dari bawah ke atas..

Rabu, 7 November 2012

Jemputan ke Kolokium Siswazah Lestari 2012


Insyallah akan ke Pulau Langkawi pada 9 hingga 12 Nov 2012. Mudah-mudahan di tambah lagi ilmu, jaringan dan pengalaman. Tentatifnya adalah seperti berikut :

Selasa, 6 November 2012

Perkembangan di Alam Oktober

Begitu cepat masa berlalu..Bagaimana nak ulas, itu yang merumitkan..Biarlah ilmu dan pengalaman itu terus di bawa dan di jelajah hingga mencapai maksudnya. Syukurnya, perjalanan permulaan ini masih tenang walaupun adakalanya di himpit keletihan. Menulis sebenarnya akan menjadi mudah seandainya apa yang nak disampaikan adalah jelas, beralas dan ikhlas. Cuma lagi, bahasa itu yang sentiasa perlu di gilap dan di susun mengikut tertibnya. Penulis kebelakangan ini menimbang cara penulisan yang ingin disampaikan kepada pembaca. Komentar yang diterima daripada karib kerabat ada yang menyuarakan bahasa menulis yang diguna si penulis adalah "tinggi", "berbunga", dan sesetengahnya sukar difahami. Alhamdullillah, terima kasih atas pandangan yang baik itu. Insyallah, akan cuba diperbaiki dan dipertingkatkan dari masa ke semasa. Penting bagi seorang ilmuwan itu mendengar suara dari alam sekelilingnya kerana di situlah prosesnya manusia itu untuk menjadi seorang yang alim.

" Dari Alam wujudlah ilmu..Dari ilmu lahirlah Alim..Dari Alim terbentuklah Ulamak"

Berbalik perkembangan di alam Oktober 2012 ini, diringkaskan di sini beberapa perkara yang utama dalam perjalanan tesis ini. Ianya penting sebagai titik dan alas untuk di bawa kehadapan nanti. Taqwa dan Taqwimnya adalah seperti berikut :

Khamis, 18 Oktober 2012

Penerapan Kaedah Penyelidikan Kritikal Dalam Penulisan Tesis

Dalam Kamus Dewan (edisi ketiga) bahasanya kritikal menunjukkan sesuatu yang mungkin menimbulkan krisis, boleh atau mungkin menerbitkan kegentingan. Selain darinya kritikal itu ertinya adalah mengkritik atau sesuatu yang mengandungi kritikan.Dalam bidang sains sosial, perkataan 'kritikal' berpunca dari idea 'kritikan', yang telah digunakan dalam cara yang berbeza oleh Immanuel Kant dan Karl Marx (1976). Banyak penulisan Marx menggunakan subjek 'kritikan', contohnya dalam isu kapital di mana ianya menjadi subjek kritikan beliau terhadap permasalahan ekonomi dan politik. Tanggapan Marx terhadap kritikal sebenarnya lebih dikaitkan kepada kritikan berbentuk ideologi atau fahaman. Di sinilah letaknya perbezaan antara sains dan ideologi yang menjadi dasar kepada pendekatan dan pegangan Marxism. Ideologi atau akal, difahami sebagai 'pengetahuan separa' - separa, dalam kedua-dua makna perkataan: (1) kerana ia adalah tidak lengkap dan (2) kerana ia memenuhi kepentingan sesebuah kumpulan manusia atau komuniti. Peranan sains adalah untuk mengkaji hubungan kuasa yang menjana andaian-andaian akal yang terhasil di sebalik penampilan dunia (sains dan teknologi). Teori kritikal, dalam erti kata fahaman Marx, bertujuan untuk mendedahkan mekanisma penindasan dan sekali gus menyumbang kepada pembebasan kumpulan yang ditindas

Penyelidikan kritikal (critic research) adalah kaedah yang digunapakai dalam alam ilmu dan falsafah sains sosial di mana diamalkan satu tatacara sistematik bagaimana suatu pengetahuan itu di kumpul dan dihasilkan suatu ilmu saintifik yang sebenar. Umumnya penyelidikan kritikal di lihat sebagai satu bentuk kaedah untuk memperoleh dan mendefinisikan pengetahuan secara menyeluruh (holistik).Kaedah penyelidikannya adalah berbentuk satu penyiasatan meta-proses, yang mana persoalan yang ingin dirungkai adalah memegang kepada nilai-nilai dan andaian-andaian serta cabaran struktur sosial yang konvensional.Pelaksanaannya mampu memberi satu implikasi jiwa antara penyelidik dan komuniti (peserta) untuk membuang apa yang diistilahkan sebagai ‘kesedaran palsu' di samping dapat membangunkan pemahaman cara baru sebagai satu panduan untuk tindakan ke hadapan yang lebih berkesan.

Demikianlah 'kritikal' sejajar dengan akar Marxism, adalah istilah yang digunapakai untuk mengenal pasti pendekatan yang lebih mencabar di samping meletakkan norma dan nilai dalam laku penyelidikan untuk tujuan pendedahan struktur kuasa dan dominasi yang bertentangan dengan alam fitrah. Oleh itu, dianggapkan bahawa di dalam kelompok sesuatu masyarakat (komuniti) yang sedia ada itu terdapat kumpulan yang 'didominasi' atau 'terpinggir' yang kepentingan mereka tidak dapat disampaikan secara telus. Berdasarkan teori Marx itu, perspektif penyelidikan kritikal dalam kandungannya bukan hanya semata-mata untuk mentafsirkan dunia tetapi lebih untuk mengubahnya. Antara andaian-andaian yang menghidupkan penyelidikan kritikal tersebut adalah : 

Rabu, 17 Oktober 2012

Kelestarian : Paradigma Kejiwaan Bandar


Istilah paradigma pada abad 20 dan 21 ini pertamanya digunakan oleh Thomas Kuhn dalam bukunya The Structure of Scientific Revolutions[1] di mana beliau mencabar konsep kesinambungan kemajuan "sains biasa" dengan memperkenalkan "revolutionary science" sebagai isian yang membawa sains ke satu bentuk, model atau paradigma lain yang berupaya menjana penyelidikan dan penemuan baru, jauh berbeza dengan kaedah saintifik yang lazimnya mendominasi pola fikir dan pola penghasilan para saintis. Paradigma menjadi benih fahaman yang digunakan untuk mendasari sesuatu idea, dan yang sangat ketara sejak kebelakangan ini ialah untuk menyimpulkan idea sustainability. Sederhananya, sustainability / kelestarian/ keberterusanan walau pun banyak digunapakai di dalam pembangunan khusus dengan penamaan Persekitaran Hijau contohnya, amat jarang sekali dieksplisitkan. Di andaikan di sini bahawa pemaju, penyelidik dan saintis diacuan mengikut alunan politik, telah menyambut apa yang diusahakan oleh WCED, World Commission on Environment and Development (Brundtland Commission) yang dimulakan oleh PBB pada tahun 1983, menggesa setiap negara mewujudkan polisi untuk Pembangunan Kelestarian (Sustainable Development)[2]. Lantaran itu, apabila ianya mahu dieksplisitkan, maka timbullah satu model untuk memahami dan seterusnya merealitikan konsep pembangunan kelestarian ini.


Rajah 1 : Triple Bottom Line, Elkington. (Sumber: Google Imej)

Khamis, 11 Oktober 2012

Kejiwaan : Kajian dan Pemahaman tentang Ilmu Jiwa


Kejiwaan, satu bidang ilmu dan pengetahuan yang ingin dibahaskan dalam penulisan ini. Barangkali istilah kejiwaan sesuatu yang baru atau janggal di dengar dalam perkembangan ilmu yang mengkaji dan memahami akan naluri diri manusia ini.Sederhananya, ilmu jiwa dalam alam melayu ini sudah lama wujud malah dipraktikkan dalam pelbagai pembelajaran dan lapangan keilmuan. Bahasanya "jiwa" itu sudah cukup membuktikan bahawa pengetahuan tentangnya sudah di bahas lama dalam kitab-kitab terdahulu yang di cerna, di tafsir dan dikembangkan dari kitab suci dari langit iaitu Al-Quran al-karim. Sehinggalah timbulnya istilah yang dinamakan psikologi yang berasal dari bahasa Yunani lama yang hari ini lebih terkenal sebutannya dalam masyarakat dunia walaupun kedua-duanya dikatakan punya benih  dan niat yang hampir sama iaitu pengkajian ilmu tentang roh atau jiwa atau ilmu jiwa. Demikianlah, istilah Psikologi itu sendiri yang berakar kata dari dua perkataan iaitu Psyche  yang bermakna roh, jiwa, dan fikiran manakala logos bermaksud ilmu atau pengetahuan.Ringkasnya, psikologi berkembang sebagai satu disiplin sains bermula pada akhir abad ke-18.Timbulnya apabila pemikiran manusia mula mengajukan pelbagai persoalan tentang sifat alam sejagat yang mengelilinginya. Keadaan alam sekitar di renung sebagaimana di renung dirinya manusia itu sendiri.Renungan itu selari dengan perkembangan pemikiran manusia yang hasilnya melahirkan ilmu jiwa sebagai objek pemerhatian dan merupakan perkara yang paling menarik tetapi kompleks.