Rabu, 16 Oktober 2013

Wacana Tentang Kajian Etnik



Ulasan Kuliah Prof. Ulung Shamsul Amri Baharuddin
Pengenalan : Kajian Etnik Sebagai Satu Bidang Kajian

" Melihat sejarah tanpa sempadan.."- Prof. Ulung Shamsul AB, Institut KITA, UKM

Mukadimah kepada kursus ini dibuka pintunya dengan pembahasan, persoalan dan ledakan pemikiran dalam menilai semula apakah tujuan sebenar sesuatu kajian itu perlu dilakukan. Kajian yang kebanyakkannya hari ini dibuat tanpa keunikan, perbezaan dan tujuan praktik mencerminkan bahawa era penyelidikan pasca-siswazah kini sudah sampai waktunya perlu dikeluarkan dari kotak usang yang menggunakan cara atau metod kajian yang sama dan berulang. Apa juga jenis bidang dan lapangan kajian akademiknya, salah satu kajian yang semakin berkembang, penting dan memberi cabaran kepada negara pada hari ini adalah 'kajian etnisiti' yang dikatakan menjadi benih mengapa kursus ini perlu diwujudkan. Mendefinisikan perkataan hubungan etnik itu juga tidak harus lagi dikupas secara tradisional tetapi harus difahami dari segi struktural (pemerintahan) dan agensi (individu) yang dilihat menjadi aktor penting dalam pembentukan arah yang prejudis atau stereotaip bagi hubungan kaum pada sesebuah negara. Secara ilmiahnya proses ini dinamakan sebagai kesepaduan sosial yang mana pengetahuan tentangnya perlu dibahas dengan kajian dan kefahaman mendalam tentang sejarah dan perlu dilihat dan diteliti dengan dibuang garis sempadannya.