"Tahniah!", kata Pengarah Lestari, Prof. Dr. Mazlin sewaktu membuka acara pembentangan dan laporan penilaian Zamalah yang saya terima sejak bulan September tahun lalu. Ucapan itu atas kerana saya berjaya membuat pembentangan ini yang sepatutnya di buat selewat-lewatnya pada semester 2 atau cukup setahun. Syukur, Alhamdullillah, pembentangan ini atas inisiatif sendiri dan galakan dari para penyelia. Syukur juga kerana punya penyelia-penyelia yang komited dan bersungguh-sungguh untuk mengetahui perkembangan pelajarnya ini.
Dalam syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak pengurusan Lestari, ada beberapa perkara yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan oleh saya sebagai penerima zamalah ini. Antaranya adalah 1. membuat pembentangan proposal pada semester pertama 2. menghasilkan dua jurnal terindeks dalam tempoh pengajian. Sederhananya kedua-dua syarat tersebut telah saya laksanakan dan tambahan dari itu saya juga membuat laporan rasmi perkembangan tesis dan dihantar pada setiap hujung semester. Menurut saya, berbanding pembentangan proposal yang lalu, pembentangan kali ini dilihat lebih mencabar. Pengadilnya lebih ramai yang terdiri daripada pihak pengurusan Lestari yang profesional dan ketiga-tiga penyelia saya juga turut sama memerhati.

