Khamis, 21 Ogos 2014

Puisi Teroka Jiwa


Ke arah Sebuah Jurnal




Artikel ini adalah bagi merungkai penerokaan kajian mengenai konsep ‘kejiwaan bandar’ dengan menggunakan kes empirikal di bandar George Town, Pulau Pinang. Ditampilkan satu pendekatan teoritikal yang berorientasikan kajian perubahan morfologi dan fungsi bandar bersejarah kerana tatacara daya-terokanya yang luas dan unik. Pendekatan ini dihujahkan lebih berkesan dari segi daya hurai dan analitikal untuk meneroka realiti konsep kejiwaan bandar seterusnya mengartikulasikannya dalam membentuk elemen-elemen jiwa bandar .Penerokaan elemen-elemen jiwa bandar ini tercermin jelas dalam corak kehidupan penghuni bandar, fungsi dan aktiviti di sebalik bangunan dan reka bentuk bandar di George Town yang menjadikan perubahan pembandaran sebagai tirai latar untuk menunjukkan masih terdapat elemen-elemen bandar yang terus hidup, kekal dan tidak berubah. Bagi mengukuh aspek kajian kejiwaan bandar menunjukkan betapa elemen-elemen jiwa bandar ini perlu diselongkar dan diteroka disebalik perubahan pembandaran yang cepat dan drastik. Perbincangan dalam artikel ini bermula dengan huraian mengenai pendekatan teoritikal dan konsep kejiwaan bandar dan dirungkai kemudian oleh kes emperikal George Town dan diakhiri dengan suatu rumusan ‘elemen-elemen jiwa bandar’.

Isnin, 11 November 2013

Konseptual dan Kompleksiti Etnisiti

Ulasan kuliah Dr. Zaini Othman 
(22 & 23 Oktober 2013)

" Hari ini banyak bangsa telah dilukis dan diwarnai oleh barat.."- Dr. Zaini Othman, UMS

Wacana tentang kajian etnik sememangnya sesuatu yang unik, sulit dan kompleks. Hari ini kekeruhan hubungan etnik di mana-mana negara di dunia semakin hari nampaknya semakin menonjol tetapi kurang mahu ditonjolkan. Dalam konteks ini, isu-isu etnisiti yang berkaitan dengan kumpulan majoriti, minoriti dominan dan konfliks tidak pernah jemu dibahas dan dibincangkan. Antara ahli akademik yang menurut saya punya kemampuan dan kepakaran dalam membahas isu ini adalah Dr. Zaini Othman (UMS) yang dijemput khas untuk melengkapkan perjalanan kuliah kursus ini. Dr. Zaini membuka ruang perbincangan dengan lontaran isu dari refleksi yang berbeza iaitu bagaimana melihat isu etnik ini dalam konteks bukan konflik.

Rabu, 16 Oktober 2013

Wacana Tentang Kajian Etnik



Ulasan Kuliah Prof. Ulung Shamsul Amri Baharuddin
Pengenalan : Kajian Etnik Sebagai Satu Bidang Kajian

" Melihat sejarah tanpa sempadan.."- Prof. Ulung Shamsul AB, Institut KITA, UKM

Mukadimah kepada kursus ini dibuka pintunya dengan pembahasan, persoalan dan ledakan pemikiran dalam menilai semula apakah tujuan sebenar sesuatu kajian itu perlu dilakukan. Kajian yang kebanyakkannya hari ini dibuat tanpa keunikan, perbezaan dan tujuan praktik mencerminkan bahawa era penyelidikan pasca-siswazah kini sudah sampai waktunya perlu dikeluarkan dari kotak usang yang menggunakan cara atau metod kajian yang sama dan berulang. Apa juga jenis bidang dan lapangan kajian akademiknya, salah satu kajian yang semakin berkembang, penting dan memberi cabaran kepada negara pada hari ini adalah 'kajian etnisiti' yang dikatakan menjadi benih mengapa kursus ini perlu diwujudkan. Mendefinisikan perkataan hubungan etnik itu juga tidak harus lagi dikupas secara tradisional tetapi harus difahami dari segi struktural (pemerintahan) dan agensi (individu) yang dilihat menjadi aktor penting dalam pembentukan arah yang prejudis atau stereotaip bagi hubungan kaum pada sesebuah negara. Secara ilmiahnya proses ini dinamakan sebagai kesepaduan sosial yang mana pengetahuan tentangnya perlu dibahas dengan kajian dan kefahaman mendalam tentang sejarah dan perlu dilihat dan diteliti dengan dibuang garis sempadannya.

Rabu, 11 September 2013

Subangsih Buat Pelajar Lestari


Tarikh : 9 September 2013
Lokasi : Bilik Mesyuarat LESTARI

Menurut saya pertemuan kali ini agak berbeza. Bilik mesyuarat LESTARI hari ini dipenuhi bukan sahaja pentadbir, pelajar-pelajar baru dan lama tetapi turut disertai oleh pelajar-pelajar SEADPRI (Southeast Asia Disaster Prevention Research Institute) yang kini berada bersama-sama di bawah satu bumbung yang Lestari..Menariknya, ianya satu pertemuan yang baru, unik dan  murni. Bila pelbagai bidang keilmuan digabungkan di dalam satu lapangan akademik yang kukuh dan matang usianya, sudah pasti ia akan memberikan impak yang kuat dan teguh terutamanya kepada para pelajar, institusi dan universiti. Barangkali keberkesanannya kurang dirasakan pada masa sekarang, namun untuk generasi yang mendatang sudah pasti ia memberikan manfaat dan keberuntungan yang besar kerana niat, laku dan hasil tesis pelajar hari ini dapat diperoleh, dikongsi dan dirujuk dengan mudah dalam satu jaringan warga, aturan dan tapak yang sama.

Isnin, 2 September 2013

Precariat : Satu Krisis Dayahuni Bandar

Berikut adalah abstrak makalah yang telah saya siapkan dalam semester kedua yang lepas..

Proses perubahan pembandaran yang cepat dan drastik menerangkan juga satu proses perubahan yang berkait langsung dengan perkembangan dan peningkatan permasalahan dayahuni bandar. Perubahan pembandaran yang berlaku terutamanya pada konurbasi bandar-bandar besar di Malaysia telah menyebabkan berlakunya perubahan dan pengaruh esensi dan pola kejiwaan penduduk bandar sedia ada yang akhirnya mengancam elemen-elemen kejiwaan bandar yang menjadi faktor pembentuk bandar tersebut. Gerak kuasa ini sama ada disedari atau tidak, perubahan pembandaran yang berlangsung itu telah meningkatkan situasi kemudahancaman (vulnerability) dalam pola kejiwaan penghuni yang sedang bertindak dalam proses melestarikan dayahuni bandar yang telah tercipta dan  dipertahankan. Lebih penting lagi, pembentukan konfigurasi kemudahancaman itu pada keseluruhannya menjelmakan satu kelompok baru masyarakat yang diistilahkan sebagai “precariat”. Makalah ini cuba meneliti perubahan pembandaran yang berlaku dan hubungkaitannya dengan keadaan kemudahancaman yang terjadi kepada kehidupan dayahuni di alam bandar. Dalam hubungan ini, makna dan faktor “precariat” terhadap perubahan ini akan dibincang dan dikupas secara sederhana tetapi menyeluruh. Faktor-faktor precariat antaranya adalah globalisasi, krisis politik, sosio-ekonomi, perubahan dan pemodenan pembandaran serta tragedi alam sekitar.